Jalinan Memori Terluka

Jalinan Memori Terluka

Friday, November 6, 2009

Jalinan Memori Terluka - 2

Nadia Maisarah Ismail. Seorang gadis yang cantik dan ayu. Seorang gadis yang tegas di dalam pendiriannya. Namun pagi ini dia benar-benar berada di dalam dilema.
Direnung rak yang berada di hadapannya. Berbagai jenis roti dan kek tersusun rapi di situ. Semuanya nampak enak dan lazat. Kecur airliurnya.
‘Wei Maisarah, kau nak tamatkan diet kau hari ini atau kau nak teruskan?’ cabar hati kecilnya.
‘Dah 5 hari aku asyik makan sayur, mana ada tenaga kalau aku terus macam ni?’ jawab nafsunya pula.
‘Hei, kau kata kau nak turunkan berat kau tu sebanyak 3 kg. Apa kau dah lupa ke?’ hatinya cuba mengingatkan.
‘Tak. Tapi hidup tanpa kabohidrat dan lemak sekali sekala, amatlah tidak bermakna. Kalau aku mati kat tengah jalan yang sentiasa membahayakan tu, tak ke kempunan namanya?’ gumam nafsunya pula.
Akhirnya Nadia nekad. Dicapai sebungkus Potato Bread dari atas rak. Terasa mahu dibukanya bungkusan itu ketika itu juga. Perutnya memang sudah berlagu. Dia masih belum makan sedari pagi tadi. Agak sibuk sehingga dia terlupa untuk makan. Baru hendak membuka bungkusan ditangannya, tiba-tiba dia terasa malu. Tidak patut dia berbuat begitu.
“Mai, kau bukan budak kecik lagi. Takkanlah kau tidak boleh tahan rasa lapar kau tu,’ nasihat hatinya yang sentiasa mahu menjaga tatasusila diri.
Nadia melepaskan keluhan kecil. Diusap perutnya perlahan. Dia akur dengan kata hatinya. Mungkin juga dia boleh ke Medan Selera yang terletak di luar pasar raya itu selepas ini. Sekarang masanya untuk dia menahan kelaparan yang semakin menyeksakan itu. Dia meneruskan perjalanannya untuk melengkapkan senarai barangan yang perlu dibelinya itu.
Nadia cuba melupakan rasa laparnya itu. Dia cuba memikirkan perkara lain. Difikirkan tentang kerjanya pula. Dia tersenyum gembira. Terasa bebas dan ceria. Setelah beberapa hari memerap di dalam pejabatnya bersama dengan komputer ribanya itu, kerjanya itu dapat diselesaikan juga akhirnya.
Sejak sebulan yang lepas, pejabat adalah dunianya. Keluar rumah sebaik jam menunjuk ke angka 6 pagi dan hanya pulang ketika jam sudah dinihari. Pulangnya ke rumah hanya sekadar untuk menukar baju. Telah sebulan juga dia tidak melihat panas matahari. Kulitnya juga semakin pucat tanpa vitamin D yang datangnya dari pancaran mentari pagi yang percuma itu. Mujur Mak Ngah memahami kesibukannya saban hari. Dan mujur juga semuanya itu akan berubah hari ini. Dia akan bercuti selama sebulan. Tapi dia masih lagi belum ada apa-apa perancangan bagaimana dia mahu menghabiskan cutinya itu.
Bila memikirkan tentang cutinya, dia sudah terasa bosan. Entah apa yang boleh dibuatnya untuk menghabiskan cutinya itu. Mak Ngah pasti akan memerap di dalam rumah seperti biasa. Mak Lang dan dan Pak Lang pula pasti akan sibuk, tiada masa untuk menemaninya ke mana-mana. Irdina pula pasti sibuk dengan kuliahnya. Cuti semesternya hanya akan bermula sebulan dari sekarang. Abang Irfan pula tidak mahu melayannya sekarang. Dia sedang sibuk dengan projek barunya itu.
Fikiran Nadia melayang pula kepada kawan-kawannya pula. Marina sudah berumah tangga tiga bulan yang lepas. Zarina pula sedang mengandungkan anak kedua. Maria pula sedang berkhusus di luar negara. Kamalia pula pasti sibuk dengan anak-anak muridnya.
“Hai, nampaknya cuti kali ni aku bertemankan novel-novel jugalah....’ Nadia mengeluh sendirian. Dipandang pula ke arah sekelilingnya. Seorang kanak-kanak perempuan sedang merengek memegang bucu baju ibunya. Si ibu pula cuba untuk tidak melayan kerenah anaknya. Dia sedang sibuk memilih di antara 2 jenama susu. Dikalihkan kembali pandangannya kepada kanak-kanak kecil tadi. Comel dan manja. Bibir merahnya sedang memuncung. Air mata pula bergenang di tubir matanya.
Tersentap hati Nadia dengan senario yang berada di depan matanya. Namun cuba ditepis perasaan sayu yang ingin menyelinap masuk ke dalam hatinya. Dia memang mahukan anaknya sendiri, tapi sehingga kini dia masih sendiri. Sama seperti Tentera Laut yang kelihatannya seperti orang yang kehilangan arah di sebelah sana. Tangannya sedang menggaru-garu kepalanya. Mulutnya terkumat-kamit membaca maklumat yang tertera pada tin-tin susu formula itu. Nadia tertarik untuk terus merenungnya. Susuk tubuh itu bagaikan dikenali dan dia terus memerhati.

Nadia tergamam. Dahinya berkerut. Cuba mengingatkan sesuatu. Dia menapak mendekati. Direnung dan diteliti tanpa berkelip wajah yang sedang berkerut itu. Namun dia kelihatan gagah di dalam pakaian seragamnya yang serba putih itu.



‘Sah, memang dia!’ Hati Nadia melonjak gembira, tapi hanya seketika. Dia beralih arah. Berdiri di satu sudut, menyembunyikan dirinya dari pandangan lelaki itu. Diperhatikan sahaja gerakgeri lelaki itu dengan hati yang sendu. Direnung setiap raut yang bermain diwajahnya. Cuba ditahan rasa hatinya dari tersirna di anak matanya. Rindu yang telah lama terpendam di sudut hatinya cuba untuk menyirna, namun cuba untuk disembunyikan kembali.


Nadia terus menatap susuk tubuh lelaki yang telah lama dirinduinya itu. Tinggi dan kacak. Rambutnya yang hitam lebat itu masih dipotong pendek, selayak tugasnya sebagai seorang Tentera Laut yang berpangkat tinggi. Dipandang pula kepada tubuh sasa itu. Masih seperti dahulu. Teringat pula kepada pancaran kasih yang sering tersirna dari anak mata itu. Hanya untuk dirinya. Redup dan hangat. Telah 5 tahun berlalu sejak pandangan itu dilihatnya. Sebaik teringatkan pandangan yang mempersonakan itu, kehangatan itu kembali menular ke dalam dirinya.


Pengumuman yang dibuat dari corong pembesar suara, menyentak Nadia dari perjalanan memorinya. Dia menarik nafas panjang, sedalam yang boleh. Dia cuba mengingatkan dirinya tentang duka lalu. Duka yang kadangkala menjadi igauan buruk semasa tidurnya.


‘Mai, jangan diingat perkara yang lalu, hanya akan membuka parut yang telah lama sembuh. Kau jalan ke arah lain, jangan kau tegur dia. Jangan biarkan parut luka kau tu kembali berdarah.’ Nadia cuba menasihatkan dirinya.


‘Kami berdua semakin dewasa. Kami semakin matang. Pasti aku boleh menegur Naim tanpa mendatangkan sebarang masalah. Hanya menegur, takkan itu pun salah....’ akalnya memberikan alasan. Dia memang benar-benar ingin bertanyakan khabar lelaki itu.


‘Eekk,’ tukas hatinya pula. ‘Mana mungkin tak salah, kau akan mengundang padah...’


‘Tapi aku hanya nak bertanya khabar. Kami pernah bercinta, takkan sekarang tak boleh berkawan?’


‘Berkawan? Setelah apa yang kau lakukan pada Naim? I dont think so...’ tukas hatinya lagi.


‘Tapi tak salah kan kalau aku hanya menegurnya?’ pintas akalnya pula.


‘Mai, lebih baik kau berpura-pura tak nampak dia. Baik kau cepat-cepat beredar dari sini.’


Nadia terus mengomel sendirian. Dia benar-benar rindukan lelaki itu. Tidak cukup melihatnya dari jauh. Ingin didengar sekali lagi suara lelaki yang garau dan serak-serak basah itu. Suara penuh kelakian. Suara yang kerap mengganggu ketenangannya satu ketika dulu.


Nadia ingin melangkah pergi, tapi kakinya tidak mahu mendengar perintah hatinya. Sebaliknya kakinya terus melangkah perlahan mendekati Naim. Dia berhenti di belakang lelaki yang sedang khusyuk melihat apa yang berada ditangannya. Diperhatikan pula apa yang berada di atas rak di depan Naim.


“Baby food? Makanan bayi? Dia dah ada anak ke? Dia dah beristeri?’


Fikiran Nadia bercelaru. Kesedihan mula bertapak di dalam hati. Terasa luluh, namun cuba ditahan rasa hati agar tidak tersirna di saat itu.


“Strained carrots, strained spinach. Baby makan benda-benda macam ni ke?’


Kedengaran suara Naim mengomel perlahan, namun masih jelas menampar gegendang telinga Nadia yang berada di belakangnya.


Begitu lama suara itu tidak didengarnya. Betapa dia begitu merindui suara itu. Dia mula teragak-agak, namun dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Dia mengetap kedua bibirnya seketika sebelum mengulum senyuman kecil. Dia menegur Naim.


“Memang susah nak makan daging bila tak ada gigi ni,’ seloroh Nadia sambil menanti reaksi dari lelaki di hadapannya yang sedang khusyuk menilik satu persatu makanan bayi di dalam botol-botol bersaiz comel yang terletak cantik di atas rak.

No comments:

Post a Comment