Jalinan Memori Terluka

Jalinan Memori Terluka

Saturday, November 7, 2009

Jalinan Memori Terluka - 3

Naim terkedu. Agak lama dia kaku di situ. Suara itu telah 5 tahun tidak didengarnya. Sukar untuk dia mempercayai yang dia akan mendengar kembali suara lunak itu pada saat ini. Terlalu lama suara itu menjadi igauan mimpinya. Terlalu lama pemilik suara itu telah cuba dilupakannya. Kenapa pula hari ini dia akan mendengar kembali suara itu?



Naim memusingkan badannya. Perlahan. Sedikit demi sedikit, imej gadis yang pernah mengisi ruang mimpinya, kini memenuhi ruang penglihatannya. Sekali lagi dia terkedu. Akalnya seakan mati tiba-tiba. Tidak mahu berfungsi seperti selalunya. Tiada sebarang ekspresi pada raut wajahnya.


Mati senyuman Nadia pada ketika itu. Walaupun dia sudah menjangkakan reaksi itu, namun pedih juga perasaannya. Dia tahu yang dia bersalah. Tapi 5 tahun adalah satu jangka masa yang terlalu lama. Dia amat-amat berharap yang Naim telah memaafkannya.


‘Maisarah.’ Sapa Naim dengan dingin. Diamati gadis di hadapannya. Memang dia tidak salah. Wajah ayu yang pernah dipujanya itu tidak banyak berubah. Kini dia tampak lebih kurus dari dahulu. Raut wajahnya tampak lebih matang, namun masih lembut dan menenangkan mata yang memandang.


Nadia menelan airliurnya. Walaupun nada suara Naim agak dingin, sekurang-kurangnya dia tidak menjerkah. Dan jauh disudut hatinya, dia terasa sedih kerana lelaki itu kini memanggilnya Maisarah, bukan lagi Nadia. Hanya dia yang akan memanggilnya Nadia. Nadia tahu kenapa dia bersikap begitu, namun dia cuba untuk tidak ambil peduli. Dipaksa dirinya untuk kembali mengukir senyuman buat lelaki yang pernah menjadi pujaannya itu.


‘Assalamulaikum Naim. Apa khabar?’ ucap Nadia sambil melontarkan pandangannya ke arah kedua tangan Naim yang begitu kuat menggenggam kedua-dua botol comel makanan bayi itu. Mungkin kedua botol itu akan pecah sekiranya dia terus berbuat demikian.


Nadia tersenyum kecil pada dirinya. Mungkin Naim sedang membayangkan yang tangannya sedang menjerut lehernya pada ketika itu untuk melepaskan geram yang bersarang dihatinya itu.


‘Baik.’ Jawab Naim ringkas.


‘Balik bercuti ke?’ tanya Nadia sekadar berbasa basi. Memandangkan reaksi Naim yang terus dingin, ingin sahaja dia beredar dari situ. Dia sedar yang kehadirannya tidak diinginkan oleh lelaki di depannya ketika itu.


‘Tak. Saya dah ditukarkan ke sini.’


Terkedu Nadia seketika. ‘Dia dah ditukarkan ke sini. Ini bererti aku mungkin akan berpeluang untuk bertemu dengan dia lagi. Itu pun jika takdir mengizinkan.’


‘Dah lama?’


“Baru sebulan.’


Naim masih terus kekok di situ. Tidak pasti apa yang boleh dilakukannya kini. Hatinya yang pernah terluka gara-gara gadis di hadapannya itu seakan mahu berdarah kembali. Pedihnya kembali terasa. Kalau boleh, dia ingin sekali melangkah pergi. Tapi kakinya enggan menurut kata hatinya.


‘So, what are you up to, Naim?’


‘My neck,’ gumam Naim walaupun hatinya berat untuk menjawab, ‘dan rasa macam akan tenggelam dengan cepat.’


‘Huh?!’


Nadia keliru, tidak pasti dengan apa yang dimaksudkan oleh Naim sebentar tadi.


‘Cuba awak tengok ni.’ Jawab Naim sambil mengunjuk kepada botol-botol ditangannya dan ke arah rak di hadapannya.


‘Macam mana seseorang tu nak tahu apa yang perlu didapatkannya? Jenis sayur apa? Brand apa? Yang dalam botol ke atau yang dalam kotak? Bijiran ke formula?’ Suara Naim semakin meninggi. ‘Kalau formula pulak, jenis apa yang paling baik? Soya ke, cecair ke, tepung ke? Yang dah siap untuk diminum ke atau pun yang dah siap dicampur?’


Nadia terasa mahu ketawa, tapi cuba ditahannya. Dia tahu yang Naim tidak akan menghargai ketawanya itu pada saat ini.


‘Seingat saya, awak jenis yang sukakan jus buah-buahan, bukannya makanan sebegini.’


Mata Naim mencerlung. Dia memandang Nadia dengan mata yang buntang. ‘Memanglah saya sukakan jus buah-buahan, tapi semua ni bukannya untuk saya.’


Naim menggaru kepalanya yang tidak gatal. Jelas tersirna keresahan diwajahnya yang kacak itu. Tersirna juga rasa hatinya yang kaget dengan situasi yang sedang dihadapinya itu.


Hem, Naim nampak panik. Dan setahu aku, dia tak pernah panik. Tak pernah macam ni. Mungkin ada sesuatu yang sedang berlaku di luar kawalannya, gerutu Nadia di dalam hati. Tapi mungkin juga tekaannya itu salah. Setahunya, Naim sentiasa tenang menghadapi apa jua keadaan, hatta ketika Nadia terpaksa meninggalkannya 5 tahun yang lalu.


‘Naim, apa yang sedang berlaku sebenarnya ni?’ tanya Nadia sambil cuba memujuk hatinya bahawa dia hanya sekadar ingin mengetahui perkembangan lelaki itu.


‘Tak ada apa-apa,’ omel Naim perlahan sambil tangannya mula meletak botol-botol comel yang dipegangnya tadi kembali ke atas raknya. Dilakukan dengan berhati-hati agar susunan botol-botol itu tidak terjatuh pula nanti.


‘Takkanlah tak ada apa-apa. Saya tengok awak macam tak tentu arah aje,’ tukas Nadia.


‘Just the end of the world.’ Gumam Naim sekali lagi.


‘Sound serious.’


‘Memang pun.’


Hish, susahnya nak dapatkan maklumat dari dia ni, omel Nadia di dalam hati. Memang begitu perangainya sejak dulu. Berat mulut. Sepatah ditanya, setengah patah yang dijawab. Nadia tidak bertanya lagi. Sebaliknya dia berterusan merenung lelaki di hadapannya.


Walaupun Naim membelakangkannya, dia terus menunggu. Dia terus menanti reaksi Naim. Telah lama dia mengenali lelaki itu. 2 tahun mereka bersama sebelum Nadia menamatkan hubungan mereka. Dia yakin Naim masih belum berubah dari sikapnya yang satu itu.


Tepat seperti sangkaannya. Seperti dahulu, Naim pasti tidak akan bertahan bila dihadiahkan renungan ataupun suasana senyap yang lama. Akhirnya dia berpaling menghadap Nadia. Kedua tangannya sudah berpeluk ke tubuh. Kedua kakinya pula sedikit terkangkang. Mungkin dia mula rasa tercabar.


“Saya dah jadi seorang bapa,’ perlahan kata-kata itu terhambur dari mulut Naim. Nada suaranya tidak kedengaran gembira, tapi seolah-olah dia kini sedang berada di dalam situasi yang tidak disenanginya sama sekali.


Friday, November 6, 2009

Jalinan Memori Terluka - 2

Nadia Maisarah Ismail. Seorang gadis yang cantik dan ayu. Seorang gadis yang tegas di dalam pendiriannya. Namun pagi ini dia benar-benar berada di dalam dilema.
Direnung rak yang berada di hadapannya. Berbagai jenis roti dan kek tersusun rapi di situ. Semuanya nampak enak dan lazat. Kecur airliurnya.
‘Wei Maisarah, kau nak tamatkan diet kau hari ini atau kau nak teruskan?’ cabar hati kecilnya.
‘Dah 5 hari aku asyik makan sayur, mana ada tenaga kalau aku terus macam ni?’ jawab nafsunya pula.
‘Hei, kau kata kau nak turunkan berat kau tu sebanyak 3 kg. Apa kau dah lupa ke?’ hatinya cuba mengingatkan.
‘Tak. Tapi hidup tanpa kabohidrat dan lemak sekali sekala, amatlah tidak bermakna. Kalau aku mati kat tengah jalan yang sentiasa membahayakan tu, tak ke kempunan namanya?’ gumam nafsunya pula.
Akhirnya Nadia nekad. Dicapai sebungkus Potato Bread dari atas rak. Terasa mahu dibukanya bungkusan itu ketika itu juga. Perutnya memang sudah berlagu. Dia masih belum makan sedari pagi tadi. Agak sibuk sehingga dia terlupa untuk makan. Baru hendak membuka bungkusan ditangannya, tiba-tiba dia terasa malu. Tidak patut dia berbuat begitu.
“Mai, kau bukan budak kecik lagi. Takkanlah kau tidak boleh tahan rasa lapar kau tu,’ nasihat hatinya yang sentiasa mahu menjaga tatasusila diri.
Nadia melepaskan keluhan kecil. Diusap perutnya perlahan. Dia akur dengan kata hatinya. Mungkin juga dia boleh ke Medan Selera yang terletak di luar pasar raya itu selepas ini. Sekarang masanya untuk dia menahan kelaparan yang semakin menyeksakan itu. Dia meneruskan perjalanannya untuk melengkapkan senarai barangan yang perlu dibelinya itu.
Nadia cuba melupakan rasa laparnya itu. Dia cuba memikirkan perkara lain. Difikirkan tentang kerjanya pula. Dia tersenyum gembira. Terasa bebas dan ceria. Setelah beberapa hari memerap di dalam pejabatnya bersama dengan komputer ribanya itu, kerjanya itu dapat diselesaikan juga akhirnya.
Sejak sebulan yang lepas, pejabat adalah dunianya. Keluar rumah sebaik jam menunjuk ke angka 6 pagi dan hanya pulang ketika jam sudah dinihari. Pulangnya ke rumah hanya sekadar untuk menukar baju. Telah sebulan juga dia tidak melihat panas matahari. Kulitnya juga semakin pucat tanpa vitamin D yang datangnya dari pancaran mentari pagi yang percuma itu. Mujur Mak Ngah memahami kesibukannya saban hari. Dan mujur juga semuanya itu akan berubah hari ini. Dia akan bercuti selama sebulan. Tapi dia masih lagi belum ada apa-apa perancangan bagaimana dia mahu menghabiskan cutinya itu.
Bila memikirkan tentang cutinya, dia sudah terasa bosan. Entah apa yang boleh dibuatnya untuk menghabiskan cutinya itu. Mak Ngah pasti akan memerap di dalam rumah seperti biasa. Mak Lang dan dan Pak Lang pula pasti akan sibuk, tiada masa untuk menemaninya ke mana-mana. Irdina pula pasti sibuk dengan kuliahnya. Cuti semesternya hanya akan bermula sebulan dari sekarang. Abang Irfan pula tidak mahu melayannya sekarang. Dia sedang sibuk dengan projek barunya itu.
Fikiran Nadia melayang pula kepada kawan-kawannya pula. Marina sudah berumah tangga tiga bulan yang lepas. Zarina pula sedang mengandungkan anak kedua. Maria pula sedang berkhusus di luar negara. Kamalia pula pasti sibuk dengan anak-anak muridnya.
“Hai, nampaknya cuti kali ni aku bertemankan novel-novel jugalah....’ Nadia mengeluh sendirian. Dipandang pula ke arah sekelilingnya. Seorang kanak-kanak perempuan sedang merengek memegang bucu baju ibunya. Si ibu pula cuba untuk tidak melayan kerenah anaknya. Dia sedang sibuk memilih di antara 2 jenama susu. Dikalihkan kembali pandangannya kepada kanak-kanak kecil tadi. Comel dan manja. Bibir merahnya sedang memuncung. Air mata pula bergenang di tubir matanya.
Tersentap hati Nadia dengan senario yang berada di depan matanya. Namun cuba ditepis perasaan sayu yang ingin menyelinap masuk ke dalam hatinya. Dia memang mahukan anaknya sendiri, tapi sehingga kini dia masih sendiri. Sama seperti Tentera Laut yang kelihatannya seperti orang yang kehilangan arah di sebelah sana. Tangannya sedang menggaru-garu kepalanya. Mulutnya terkumat-kamit membaca maklumat yang tertera pada tin-tin susu formula itu. Nadia tertarik untuk terus merenungnya. Susuk tubuh itu bagaikan dikenali dan dia terus memerhati.

Nadia tergamam. Dahinya berkerut. Cuba mengingatkan sesuatu. Dia menapak mendekati. Direnung dan diteliti tanpa berkelip wajah yang sedang berkerut itu. Namun dia kelihatan gagah di dalam pakaian seragamnya yang serba putih itu.



‘Sah, memang dia!’ Hati Nadia melonjak gembira, tapi hanya seketika. Dia beralih arah. Berdiri di satu sudut, menyembunyikan dirinya dari pandangan lelaki itu. Diperhatikan sahaja gerakgeri lelaki itu dengan hati yang sendu. Direnung setiap raut yang bermain diwajahnya. Cuba ditahan rasa hatinya dari tersirna di anak matanya. Rindu yang telah lama terpendam di sudut hatinya cuba untuk menyirna, namun cuba untuk disembunyikan kembali.


Nadia terus menatap susuk tubuh lelaki yang telah lama dirinduinya itu. Tinggi dan kacak. Rambutnya yang hitam lebat itu masih dipotong pendek, selayak tugasnya sebagai seorang Tentera Laut yang berpangkat tinggi. Dipandang pula kepada tubuh sasa itu. Masih seperti dahulu. Teringat pula kepada pancaran kasih yang sering tersirna dari anak mata itu. Hanya untuk dirinya. Redup dan hangat. Telah 5 tahun berlalu sejak pandangan itu dilihatnya. Sebaik teringatkan pandangan yang mempersonakan itu, kehangatan itu kembali menular ke dalam dirinya.


Pengumuman yang dibuat dari corong pembesar suara, menyentak Nadia dari perjalanan memorinya. Dia menarik nafas panjang, sedalam yang boleh. Dia cuba mengingatkan dirinya tentang duka lalu. Duka yang kadangkala menjadi igauan buruk semasa tidurnya.


‘Mai, jangan diingat perkara yang lalu, hanya akan membuka parut yang telah lama sembuh. Kau jalan ke arah lain, jangan kau tegur dia. Jangan biarkan parut luka kau tu kembali berdarah.’ Nadia cuba menasihatkan dirinya.


‘Kami berdua semakin dewasa. Kami semakin matang. Pasti aku boleh menegur Naim tanpa mendatangkan sebarang masalah. Hanya menegur, takkan itu pun salah....’ akalnya memberikan alasan. Dia memang benar-benar ingin bertanyakan khabar lelaki itu.


‘Eekk,’ tukas hatinya pula. ‘Mana mungkin tak salah, kau akan mengundang padah...’


‘Tapi aku hanya nak bertanya khabar. Kami pernah bercinta, takkan sekarang tak boleh berkawan?’


‘Berkawan? Setelah apa yang kau lakukan pada Naim? I dont think so...’ tukas hatinya lagi.


‘Tapi tak salah kan kalau aku hanya menegurnya?’ pintas akalnya pula.


‘Mai, lebih baik kau berpura-pura tak nampak dia. Baik kau cepat-cepat beredar dari sini.’


Nadia terus mengomel sendirian. Dia benar-benar rindukan lelaki itu. Tidak cukup melihatnya dari jauh. Ingin didengar sekali lagi suara lelaki yang garau dan serak-serak basah itu. Suara penuh kelakian. Suara yang kerap mengganggu ketenangannya satu ketika dulu.


Nadia ingin melangkah pergi, tapi kakinya tidak mahu mendengar perintah hatinya. Sebaliknya kakinya terus melangkah perlahan mendekati Naim. Dia berhenti di belakang lelaki yang sedang khusyuk melihat apa yang berada ditangannya. Diperhatikan pula apa yang berada di atas rak di depan Naim.


“Baby food? Makanan bayi? Dia dah ada anak ke? Dia dah beristeri?’


Fikiran Nadia bercelaru. Kesedihan mula bertapak di dalam hati. Terasa luluh, namun cuba ditahan rasa hati agar tidak tersirna di saat itu.


“Strained carrots, strained spinach. Baby makan benda-benda macam ni ke?’


Kedengaran suara Naim mengomel perlahan, namun masih jelas menampar gegendang telinga Nadia yang berada di belakangnya.


Begitu lama suara itu tidak didengarnya. Betapa dia begitu merindui suara itu. Dia mula teragak-agak, namun dia tidak mahu melepaskan peluang yang ada. Dia mengetap kedua bibirnya seketika sebelum mengulum senyuman kecil. Dia menegur Naim.


“Memang susah nak makan daging bila tak ada gigi ni,’ seloroh Nadia sambil menanti reaksi dari lelaki di hadapannya yang sedang khusyuk menilik satu persatu makanan bayi di dalam botol-botol bersaiz comel yang terletak cantik di atas rak.

Jalinan Memori Terluka - 1

Kapten Muhammad Naim Tan Sri Takiyuddin. Seorang jejaka kacak bergaya. Sentiasa tenang dalam apa jua situasi. Pakar di dalam menjana strategi. Namun tidak pada hari ini.
Naim membelokkan keretanya masuk ke tempat meletak kenderaan di Alpha Angle, Wangsa Maju. Dicari ruang parkir kosong yang berdekatan dengan pintu masuk ke bangunan itu. Mujurlah hari ini pagi Isnin, jadi masih banyak ruang parkir yang masih kosong.
Setelah dipastikan keselamatan keretanya terjamin, dia pun melangkah masuk ke pusat membeli-belah itu. Diperhatikan sekeliling, tercari-cari arah yang hendak ditujunya. Sebaik semuanya telah dapat dikenalpasti, akhirnya Naim mula menapak laju. Destinasinya adalah bahagian pasar raya. Dia berhenti di pintu masuk. Dipandang ke dalam. Terasa begitu aneh. Terasa kehilangan arah. Tidak tahu ke mana yang hendak dimulakannya terlebih dahulu. Dipandang pula keadaan sekeliling. Terdapat beberapa barisan troli di situ.
‘Naim, mungkin juga kau patut ambil troli tu terlebih dahulu.’ Omel Naim kepada dirinya.
Tanpa membuang masa, dia terus mencapai troli yang berada di depannya dan kembali menuju ke pintu masuk pasar raya. Sekali lagi dia tercegat di situ.
Seorang wanita yang agak berumur telah mengekori Naim dari belakang. Namun wanita itu bukan penyabar orangnya. Marah kerana Naim menghalang laluan masuknya ke pasar raya itu. Selamba sahaja dia melanggar belakang Naim. Sakit belakang Naim akibat hentakan troli yang sedikit kuat itu.
Naim menoleh ke belakang. Dikerutkan dahinya ke arah wanita itu. Hasrat hatinya ingin memberi isyarat agar wanita itu akan lebih berhati-hati. Namun lain pula jadinya. Bukannya wanita itu meminta maaf darinya, sebaliknya dia menjegilkan matanya pula ke arah Naim.
‘Maafkan saya, Makcik!’ Ucap Naim untuk memohon kemaafan dari wanita tua itu. Mungkin dia yang bersalah, jadi biarlah dia yang beralah.
“Hei, pihak tentera sekarang ni hanya ajar supaya kau orang jadi pak pacak kat muka pintu aje ke? Dah tak ajar benda lain lagi?’
Cemuhan wanita tua itu sedikit sebanyak memeranjatkan Naim. Tidak disangka yang dia akan dijerkah sebegitu oleh wanita tua yang mungkin sebaya dengan Allahyarham ibunya. Malas mahu melayan kerenah wanita tua itu, Naim melangkah ke tepi, memberikan laluan kepada orang tua itu.
“Sepatutnya lelaki tidak dibenarkan masuk ke pasar raya macam ni, buat menyemak aje,’ bebel wanita tua itu lagi sambil melangkah pergi.
Naim menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Bukan kecik pun pintu masuk ke pasar raya ni,’ omel Naim di dalam hati. Dia bengang dengan sikap wanita yang kurang ajar itu.
“Sabar ajelah Naim. Agaknya perempuan tu baru menopos, tu yang angin satu badan tu,’ Naim cuba memujuk hatinya yang kurang senang dengan sikap wanita tua itu.
‘Okey, kini tibalah saat yang dinanti-nantikan. Mari kita mulakan!’ serunya di dalam hati.
Naim mula berjalan dengan tegak. Troli ditolak dengan berhati-hati. Rak-rak yang tersusun itu diperhatikan satu persatu, bagaikan sedang memerhati barisan musuh-musuh yang hendak dikalahkannya. Serius raut wajahnya ketika itu. Cuba diingati setiap barang yang perlu sambil melihat sekiranya barang itu ada di rak yang berdekatan. Namun semuanya itu agak menyukarkan. Dia mula terasa sesal kerana tidak mencatatkan terlebih dahulu barang keperluannya di atas kertas.
Naim mengeluh kecil. Dia tahu yang dia telah kehilangan arah ketika itu. Bukannya dia pernah membeli-belah di situ. Ini kali pertamanya. Dan ini juga kali pertamanya hendak membeli setiap barang yang berada di dalam kepalanya. Dia cuba untuk menumpukan perhatiannya kepada pembeliannya. Namun agak sukar. Di satu penjuru, kelihatan seorang wanita muda sedang memujuk anak lelakinya yang sedang menjerit-jerit dengan lantang. Jeritan kanak-kanak kecil itu sudah cukup membingitkan telinganya dan mengganggu konsentrasinya.
Sekali lagi Naim mengeluh kecil. Semuanya ini memang meresahkan. Dia memang tidak gemar membeli belah dipusat-pusat membeli-belah begini. Terlalu ramai orang dan terlalu sukar hendak mencari barang-barang keperluannya. Kerana itu dia lebih gemar pergi ke kedai-kedai runcit berdekatan dengan tempat tinggalnya. Dia sebatang kara. Dia juga seorang tentera. Dia sudah biasa hidup bersendirian dan tinggal di berek tentera. Keperluannya tidak banyak. Namun pada hari ini semuanya itu bakal berubah. Dan kerana itu dia kini berada di sini. Untuk cuba memenuhi keperluan barunya itu.
‘Naim, kau kena anggap shopping trip kau ni macam satu misi jugak. Kau pastikan tempat letak setiap barang-barang tu terlebih dahulu, lepas tu kau ambil setiap barang yang kau perlukan, dan kemudian kau kena keluar dari sini dengan segera. Kau pasti boleh!’ Naim cuba membangkitkan semangatnya.
Kali ini Naim mengubah strateginya. Dia berjalan ke bahagian yang paling depan sekali daripada setiap deretan rak yang ada. Diamati setiap laluan di sebelah kirinya. Diperhatikan pula kepada setiap papan tanda yang tergantung di siling. Di hujung sekali, tertera tanda “Toilettries, Feminine Hygine”.
“Naim, yang pasti, laluan terakhir tu tak ada kaitan langsung dengan apa yang kau nak beli, jadi kau boleh elakkan dari melaluinya,’ omelnya sendirian. Otaknya terus membuat perancangan setiap laluan yang akan ditempuhinya. Setiap barang yang perlu dibeli juga sudah mula tersenarai kembali di fikirannya satu persatu. Tugasnya kini semakin mudah. Hatinya juga semakin tenang membeli-belah.
Muzik sedang berkumandang di udara. Sesekali suara lunak seorang lelaki yang mungkin adalah DJnya akan mencelah di sebalik alunan muzik itu untuk membuat pengumuman. Kadangkala untuk memberitahu tentang harga terendah ataupun promosi yang sedang dijalankan, dan kadangkala untuk meminta ibu bapa yang kehilangan anak-anak mereka untuk tampil ke kaunter perkhidmatan.
Suara hingar bingar dan jerit pekik kanak-kanak kini tidak lagi dihiraukan oleh Naim. Setiap kebisingan itu telah ditapis oleh otaknya. Dia semakin tekun mencari setiap barang keperluan yang baru pertama kali hendak dibelinya itu. Walaupun dia tampak tenang, namun resah dihatinya tak siapa yang tahu. Hatinya begitu bercelaru bila mengingatkan situasi yang bakal dihadapinya sedikit masa lagi.

Jalinan Memori Terluka - Prolog

Hari itu hari Isnin. Jam sudah lima petang. Jalan besar Pantai Teluk Kemang mula sibuk dengan kenderaan dan orang ramai yang mahu pulang dari kerja. Kesibukan di jalan raya besar itu tidak dipedulikan sangat oleh Boy. Dia telah hilang dalam dunianya sendiri. Yang kedengaran hanyalah desiran ombak yang membelah pantai. Renungannya jauh ke pantai yang sunyi tanpa penghuni. Dia lebih sukakan pemandangan itu. Laut memang minatnya. Dan perpindahan keluarganya ke Kem Si Rusa di Port Dickson itu dua bulan yang lalu telah memberikan kelebihan kepadanya. Hampir setiap hari dia akan berada di situ, kecuali pada hari Sabtu dan Ahad yang menjanjikan ramai pengunjung ke pantai itu, apatah lagi sekarang adalah musim cuti sekolah. Dia memang sukakan pantai tapi dia tidak gemarkan suasana riuh rendah orang ramai. Itu hanya akan menyesakkan fikirannya hendak melayan perasaan.


Ucu kebosanan. Cuaca pula agak panas untuk dia memeruk di dalam rumah.
‘Mak, Ucu nak pergi pantai, boleh?’
‘Tunggu petang sikit. Kan panas kat luar tu,’ ujar Puan Sufiyah memberikan alasan.
‘Ala, Mak, Ucu panas la. Kat luar tu banyak angin. Kat pantai lagi banyak angin. Nanti Ucu jalan kat bawah pokok ajelah...’ rayu Ucu pula.
‘Baiklah, tapi hati-hati masa melintas jalan tu dan jangan lupa bawa air minuman ni sekali,’ Puan Sufiyah mengingatkan. Walaupun hanya Ucu sahaja dari dua orang anaknya yang masih hidup, namun tidak tergerak hatinya untuk menyekat pergerakan Ucu, apatah lagi semasa cuti sekolah begini. Dia mahu anaknya membesar dengan baik seperti kanan-kanak yang lain. Jika di waktu persekolahan, pasti anaknya itu akan memerap di rumah kerana banyak kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan, apatah lagi dia juga menghadiri kelas tuisyen dengan cikgu sekolahnya. Sebaik sahaja anaknya itu selesai dengan UPSRnya, dia telah memberikan kelonggaran kepadanya untuk bermain di luar. Anaknya yang telah dua kali lompat kelas itu memang bergeliga otaknya dan telah mendapat keputusan yang cemerlang di dalam UPSRnya walaupun umurnya dua tahun lebih muda dari rakan-rakannya yang lain. Kerana umurnya yang lebih muda itu jugalah, Ucu tidak pernah hiraukan penampilannya, seperti hari ini. Dengan T-Shirt dan seluar sukan serta rambut yang menggerbang tidak terurus, dia keluar ke mana sahaja yang tergerak hatinya untuk melangkah. Rupanya yang comot dan selekeh itu juga dibiarkan begitu sahaja.
Ucu menyeberang jalan setelah dipastikan tiada sebarang kenderaan. Kemudian ditunggang basikalnya dengan berhati-hati di tepi jalan agar tidak berlaku kemalangan. Dia menuju ke arah Pantai Teluk Kemang. Di situ nanti pasti lebih santai berbasikal dan boleh juga dia menjamu matanya dengan aneka barang yang dipamerkan di kedai-kedai yang berderetan di situ.
Sebaik tiba di Pantai Teluk Kemang, Ucu tersenyum. Tidak ramai pengunjung kala itu. Hanya beberapa buah kenderaan. Tiada kanak-kanak langsung kecuali seorang budak lelaki yang sedang duduk menghadap pantai. Bolehlah dia bermain kasut berodanya di situ dengan senang tanpa sebarang gangguan. Litar simen itu akan menjadi miliknya untuk sementara waktu.
Ucu meletak basikalnya di tepi litar. Dikeluarkan kasut berodanya dari tempat membawa barangan. Dia mula memakai kasut itu dengan perasaan yang seronok. Dia mula bermain dengan gembira. Tidak disedarinya pandangan kanak-kanak lelaki tadi sudah pun berpindah kepadanya, memandangnya bermain dengan asyik.
Ucu semakin melajukan lariannya. Tiba-tiba, bedebuk!
‘Aduh!!’ Ucu mengerang kesakitan. Dia terjatuh. Tidak disangka dia akan jatuh ketika itu. Dia melihat sekeliling. Rupa-rupanya seketul batu berada di dalam laluannya.
‘Eh awak, sakit ke?’
Tiba-tiba satu suara kanak-kanak lelaki menegurnya dari arah sisi.
Ucu mengalih matanya ke arah suara itu. Dilihat pula pada sekeliling. Hanya kanak-kanak itu yang berada di situ. Mungkin juga itu kanak-kanak yang dilihatnya tadi.
Ucu menganggukkan kepala. Dia memang sakit. Sakit lutut dan sakit hati. Sakit hati lebih dari sakit lutut. Sakit hati kerana malu terjatuh di depan budak lelaki itu.
‘Eh, darah mengalir ni. Awak tak apa-apa ke?’ tanya budak lelaki itu sekali lagi kepada Ucu. Dia segera melutut di depan Ucu, kemudian menghembuskan sedikit udara ke lukanya yang mula berdarah. Mungkin untuk melegakan sedikit kesakitan yang Ucu rasakan ketika itu. Sedikit sebanyak, Ucu rasa tersentuh dengan tindakan budak lelaki itu.
‘Luka ni sikit aje. Saya akan bersihkan bila saya balik nanti.’ Jawab Ucu sambil cuba menahan sakit di lututnya itu.
‘Rumah awak kat mana?’
Ucu menunjukkan arah rumahnya.
‘Jauh tu. Awak datang naik apa?’ tanya budak itu lagi.
Ucu mengunjukkan basikalnya pula.
‘Awak tunggu kat sini kejap.’ Arah budak lelaki itu pula.
Ucu memerhatikan sahaja budak itu berlalu pergi menuju ke arah salah sebuah kedai yang berada di situ. Tidak lama kemudian dia kembali ke tempat itu. Ada sesuatu yang berada di dalam genggaman tangannya.
‘Meh sini saya tolong kesatkan,’ arah budak lelaki itu sekali lagi. Di tangannya sudah ada tisu muka, bersedia untuk mengelap darah yang berada di kesan luka Ucu.
Ucu menghulurkan lututnya yang berdarah. Dibiarkan budak itu membersihkan lukanya. Kemudian budak itu meletakkan pula dua keping handyplast di atas lukanya.
‘Okey, dah siap,’ ujar budak lelaki itu dengan perasaan puas. Ditekankan sedikit agar lekatan handyplast itu lebih kemas. Mungkin dia bangga dengan hasil kerjanya.
‘Saya Ucu, awak?’ Ucu memperkenalkan dirinya. Dia menyorokkan sedikit lututnya kerana seluarnya kini telah koyak. Malu juga bila dilihat oleh budak itu.
‘Saya Boy.’ Boy memperkenalkan dirinya pula.
‘Awak nak minum?’ Pelawa Ucu bila tiada idea yang singgah padanya.
‘Air? Boleh jugak. Mana?’ Tanya Boy bila dilihat tiada air di situ.
Wajah Ucu merona merah. ‘Ada, ada kat basikal saya.’
‘Saya ambilkan?’
“Tak apa, saya boleh ambil.’ Kata Ucu sambil berdiri.
‘Boleh jalan?’
Ucu mencuba kakinya. Dia menganggukkan kepala. ‘Boleh. Awak tunggu kat situ,’ arahnya sambil mengunjuk kepada tempat duduk yang berdekatan. Dia mula berjalan berjengkot menuju ke basikalnya.
Sambil minum air yang telah dibekalkan oleh Puan Sufiyah, mereka mula bercerita tentang latar belakang keluarga masing-masing. Sejak itu juga mereka akan kerap keluar bermain bersama. Boy juga akan turut bermain kasut beroda yang memang menjadi permainan kegemarannya itu.




Hari demi hari berlalu. Saban hari mereka menghabiskan masa berdua kecuali di hujung minggu. Satu hari, mereka berbual mesra di tepi pantai setelah sejam bermain kasut roda itu.
‘Boy, dah besar nanti, awak nak jadi apa?’
‘Saya nak jadi tentera.’
‘Kenapa?’
‘Saya nak ikut jejak ayah saya. Saya nak pertahankan kedaulatan Islam dan negara kita. Awak?’
‘Saya tak tahu lagi.’ Jawab Ucu tersengih.
‘Kenapa?’
‘Sebab saya lebih suka bermain. Penatlah belajar ni,’ jawab Ucu beria-ia. Dia lebih sukakan cuti sekolah yang panjang ini kerana lebih banyak masanya dapat dihabiskan dengan bermain basikal dan kasut roda. Tidak perlu menyemakkan kepalanya dengan segala macam kerja rumah yang perlu disiapkannya.
‘Ceh, mana boleh main aje. Kenalah bekerja untuk cari duit. Awak kan suka makan,’ tukas Boy kembali. Dia sudah punya sasaran yang hendak dikejar di dalam hidupnya, dan dia tidak akan mensia-siakan hidupnya begitu sahaja.
‘Kalau macam tu, saya kahwin dengan awak aje.’
‘Hah? Kenapa?’ Boy terlongo, hampir tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Kenapa pula harus ditimbulkan soal kahwin, mereka kan budak lagi. Soal kahwin adalah soal orang-orang tua.
‘Sebab, bila awak dah jadi pegawai tentera macam ayah awak, awak mesti banyak duit. Kalau saya kahwin dengan awak, awak boleh jaga saya macam ayah awak dan ayah saya yang jaga emak awak dan emak saya. Awak juga boleh bagi duit awak tu pada saya, jadi saya tak payah kerja,’ jawab Ucu selamba. Bibirnya tersungging menampakkan giginya yang rongak satu di depan.
‘Okey,’ pantas Boy bersetuju. Dia mengangguk deras. Dia tahu yang dia tidak tahu apa-apa. Mana dia tahu apakah maksud perkahwinan itu sebenarnya. Tapi dia tahu Uculah satu-satunya kawan perempuan yang dia ada. Yang dia tahu, dia selesa bersama Ucu. Dan kalau boleh dia mahu Ucu menemaninya buat selama-lamanya. Dia bahagia bersama Ucu.